Skip to main content

Sinopsis

image-1705026073493.png

1.0 PENGENALAN

Pada 16 Mac 2020, Perdana Menteri Malaysia telah mengumumkan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac 2020 bagi mengelakkan penularan wabak pandemik COVID-19. Pengumuman terkini yang dibuat pada 23 April 2020 menunjukkan bahawa tempoh PKP dilanjutkan lagi sehingga 12 Mei 2020. Penguatkuasaan PKP telah menyebabkan perubahan drastik dalam pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (P&P) daripada kelaziman. Ini termasuk pindaan terhadap kaedah penyampaian, aktiviti P&P, kaedah penilaian dan pentaksiran serta pelaksanaan peperiksaan akhir semester bagi mencapai hasil pembelajaran (learning outcomes) yang telah digariskan dan kaedah perekodan kehadiran pelajar. Penguatkuasaan PKP juga telah mengakibatkan P&P secara bersemuka terpaksa dihentikan dan takwim akademik Semester II, Sesi Akademik 2019/2020 dipinda bagi memastikan pelaksanaan P&P berjalan lancar sehingga tamat semester. Pada masa yang sama, tenaga pengajar di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) amnya dan USIM khususnya harus meneruskan sesi P&P dengan memastikan hasil pembelajaran yang telah ditetapkan dipatuhi, berdasarkan beberapa kelonggaran sebagaimana digariskan oleh pihak MQA dan badan-badan profesional. Justeru, bagi memastikan kelicinan pelaksanaan e-pembelajaran dan pengajaran dalam tempoh dan pasca PKP, maka panduan ringkas serta mudah difahami amat diperlukan sebagai panduan terhadap pelaksanaan P&P secara atas talian yang baik. Panduan ringkas ini perlu dibaca dan difahami bersama dengan garis panduan yang telah diluluskan di peringkat Universiti sebelum ini. Berdasarkan keadaan penularan wabak COVID-19 yang sukar untuk diramal, adalah dijangkakan bahawa tempoh PKP di Malaysia akan dilanjutkan bagi memastikan penularan wabak tersebut benarbenar terkawal. Walaupun IPT telah diarahkan untuk ditutup dalam tempoh tersebut, namun pelaksanaan P&P harus diteruskan kerana ia melibatkan masa depan bakal graduan, keperluan pensejajaran konstruktif berdasarkan Outcome-Based Education (OBE), keperluan Standard Program yang dikeluarkan oleh MQA dan keperluan badan profesional.